Text Size
  • Versi Bahasa
  • English Version

Transformasi pendidikan perlu menyeluruh

 

Oleh Ruhaiza Rusmin

GELOMBANG pendidikan yang dulunya berskala kecil, kini semakin berubah hingga menjadikannya pelaburan lumayan kepada industri dan institusi yang berani menyahut cabaran.

Dengan pelbagai transformasi global, pendidikan menjadi agenda baru kepada masyarakat dunia untuk me?ngangkat martabat kehidupan ke landasan penyebaran ilmu baru dan perkongsian maklumat terkini juga menyamaratakan taraf mutu pendidikan agar setara institusi lebih terkemuka.

Meskipun perubahan itu dicerminkan sebagai usaha proaktif dan positif, ada pula memberi reaksi kontra dengan tanggapan institusi hanya melakukannya akibat terpe?ngaruh dengan budaya ikutan serta tidak mahu dianggap ketinggalan.

Institusi berkenaan dituduh sanggup memperjudikan nasib semata-mata ingin memahat nama di peringkat antarabangsa sedangkan tiada kemampuan melaksanakannya.

Itukah budaya yang sedang membelenggu institusi pendidikan dunia hari ini?
Rektor Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Profesor Dr Herry Suhardiyanto berkata, transformasi pendidikan perlu dinilai secara menyeluruh bagi menjadikannya kompetitif untuk memenuhi kehendak serta keperluan globalisasi.

Menurutnya, perubahan itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau hanya ikutan kerana membabitkan kapasiti keseluruhan institusi untuk diberi penilaian oleh masyarakat.

“Transformasi bermaksud sesebuah institusi itu bersedia melaksanakan perubahan lebih besar dan melakukan anjakan paradigma dalam semua segi. Dengan kata lain, bersedia melonjakkan kemampuan dan bersaing dengan institusi lain.

“Ini bukan tugas mudah atau semata-mata hanya mahu mewujudkan situasi ikutan. Setiap institusi perlu ada perancangan tertentu bagi pembangunan jangka panjang kerana perubahan itu tidak hanya tertumpu pada satu pihak, malah membabit?kan satu organisasi.

“Justeru perancangan penting bagi menilai kemampuan sama ada sudah bersedia atau tidak. Namun keperluan dunia hari ini memang memerlukan institusi pendidikan melakukan perubahan bukan atas dasar glamor tapi penambahbaikan taraf serta mutu pendidikan masa depan,” katanya yang ditemui ketika Forum Presiden Universiti yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, baru-baru ini.

Majlis itu acara tahunan berprestij yang dianjurkan institusi pendidikan tinggi untuk membincangkan kepelbagaian isu pendidikan global oleh institusi pendidikan dunia dalam menentukan hala tuju institusi masa depan.

Transformasi pendidikan tidak hanya menyasarkan matlamat membina nama, status dan penjenamaan, malah memberi timbal balas kepada penjanaan kemahiran diri dan insaniah pensyarah-mahasiswa.

Era pendidikan dunia masa kini juga bukan lagi membudayakan kepelbagaian jurusan ilmu semata-mata, malah membuka pintu kepada jalinan kerjasama antara institusi merentasi pelbagai negara.

Dengan aspirasi memajukan pendidikan setara permintaan global, pelbagai institusi pendidikan terutama peringkat tinggi mula mencari rakan baru dan menjalin hubu?ngan dua hala strategik bagi bertukar kepakaran serta teknologi.

Menjadikan program pe?ngantarabangsaan sebagai asas lonjakan, institusi seluruh dunia mula melaksanakan pembaharuan dasar, utiliti dan mentaliti bagi memenuhi kapasiti permintaan yang semakin melonjak.

Katanya, perubahan itu bagi memenuhi kehendak permintaan dan penawaran global hingga institusi pendidikan perlu melakukan transformasi bagi menjadikan kemampuan lebih kompetitif serta mendapat pengiktirafan institusi lain.

“Dalam konteks pendidikan hari ini, siapa yang mahu menerima perubahan serta mempunyai visi jelas, akan muncul sebagai pemenang dan menjadi pilihan. Perubahan ini bukannya statik malah bergerak kepada satu matlamat sama.

“Mereka yang tidak berani berubah pasti tidak mampu bersaing. Masyarakat dunia hari ini suka menilai dan melihat pendidikan sebagai aset perlu ditambah setiap masa.

“Dengan kata lain, setiap institusi menjadikan kepakaran dan ilmu sebagai cagaran untuk mendapatkan pulangan dengan pendidikan global merentasi semua disiplin ilmu adalah sasarannya,” katanya menegaskan institusi pendidikan tidak boleh memberi penilaian terhadap kemampuan diri tapi perlu dinilai menerusi mata masyarakat.

“Tidak dinafikan ada institusi seolah-olah mendabik dada mengatakan dia yang terbaik, namun adalah lebih baik jika penilaian itu datang daripada masyarakat. Itu baru adil dan lebih diperakui.

“Namun, tidak salah institusi memberi kredit kepada diri sendiri sebagai perangsang untuk menjadikan institusi lebih fokus dan berdedikasi,” katanya.

Beliau mengakui ketaksuban dalam melaksanakan perubahan boleh mendatang?kan impak sampingan yang boleh mendatangkan konflik dalaman kepada institusi dan warganya.

Ketidakupayaan pensyarah dan pelajar untuk memenuhi piawaian, katanya, bukan saja boleh menjejaskan emosi, malah menjadikan mereka keliru dan ketinggalan.
“Pastinya usaha melakukan transformasi gagal jika golo?ngan ini tidak jelas mengenai matlamat institusi atau berasa ‘tertindas’. Sebagai tulang belakang, mereka aset penting yang perlu dihargai.

“Perancangan perlu dilakukan secara menyeluruh dan teliti dengan tidak meminggirkan pihak tertentu semata-mata teruja mencapai keinginan menjadi institusi terkenal. Jika silap percaturan, reputasi institusi akan tercemar sekelip mata dan mungkin sukar dipulih?kan,” katanya.

(Harian Metro, 4 April 2011, ms V4, Bestari)

Ikuti Kami

tweett

Site Login